PETALING JAYA : Najib Razak menolak keras dakwaan terbaru salah seorang individu yang disabitkan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu bahawa bekas perdana menteri itu mengarahkan beliau menjalankan pembunuhan kejam wanita itu pada 2006.

Ini susulan dakwaan Azilah Hadri dari penjara bahawa beliau dan Sirul Azhar Umar, yang melarikan diri ke Australia selepas mereka berdua dijatuhi hukuman mati, menerima arahan “tembak dan bunuh” (shoot to kill).

“Ini adalah cerita rekaan orang yang terdesak dan cuba melepaskan diri daripada hukuman mati,” Najib memberitahu dalam satu respons segera terhadap laporan Malaysiakini berhubung dakwaan Azilah yang terkandung dalam permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh.

“Kenapa maklumat ini tidak ditimbulkan sebelum ini, tetapi hanya sekarang, lebih sedekad selepas kematiannya (Altantuya) dan selepas 19 bulan PH berkuasa?” soal Najib.