SUNGAI PETANI: Lelaki nyaris menyerbu masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar selepas menyangka anak perempuannnya terperangkap di Taman Semarak, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, lelaki itu terpaksa dihalang orang ramai sebelum pihak bomba dimaklumkan namun akhirnya lega apabila menyedari anaknya keluar bersama isteri.

Rumah didiami lima anak beranak itu musnah 90 peratus dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Mangsa, Rohaya Ismail, 41, berkata, ketika kejadian itu berlaku, tiada sesiapa di rumah mereka kerana suaminya, Norman Ishak, 45, keluar bersukan bersama anak bongsu, Umie Umaira, 9, manakala, dia bersama anak keduanya Umie Maisarah, 17, menemui anak sulung, Ariff Iskandar Zulkarnain, 19, yang sedang belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

“Sebelum keluar rumah, saya memaklumkan pada suami akan keluar seorang sahaja menemui anak sulung kami.

“Dia yang keluar terlebih dahulu tidak menyangka Umie Maisarah turut ikut bersama saya sehingga menyebabkan dia panik kerana menyangka anak kami terperangkap di dalam rumah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Rohaya berkata, ketika suami sampai di rumah, api sedang marak menyebabkan dia cuba untuk masuk ke dalam rumah mereka bagi mencari Umie Maisarah.

“Menurut jiran, selepas suami sampai di rumah, dia mahu menerpa masuk ke dalam rumah kami untuk mencari anak namun dihalang orang ramai yang berada di situ.

“Dia juga memaklumkan kepada pihak bomba bahawa anak kami masih berada di dalam rumah, namun pihak bomba tidak menemui anak kami sebelum saya menghubunginya memberitahu bahawa Umie Maisarah selamat berada bersama saya,” katanya.

Rohaya berkata, dia juga bersyukur anaknya itu tergerak hati untuk mengikutnya bersama, memandangkan anaknya itu lebih gemar berada di rumah pada waktu sedemikian.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.14 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 25 anggota dikerah ke lokasi kejadian membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Sungai Petani selain turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani dan Banda Seri Astana.

“Rumah taman kelas A itu mengalami kemusnahan 90 peratus, namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – My Metro