Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Bulatan Amanjaya di Meru Raya bakal dikenali dengan satu nama lain, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya nama tempat yang menjadi tumpuan orang ramai itu akan ditukar selaras dengan transformasi yang sedang dilaksanakan di sekitar Meru Raya dalam masa terdekat.

Beliau berkata perubahan pada nama itu merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menaikkan kawasan itu yang kini rancak dengan pelbagai aktiviti perniagaan serta tumpuan keluarga beriadah.

Jelasnya kerajaan negeri berhasrat melihat penganjuran acara berprestij dapat diadadakan bagi menaikkan nama Meru Raya di peringkat antarabangsa.

“Saya bersama dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebenarnya banyak benda kita nak buat untuk kebaikan semua, …Meru ini kita berusaha untuk menjadikannya seperti Ipoh satu tarikan kepada pelancong.

“Pelbagai masalah yang kami sedang tanggung buat masa ini…beri kami peluang dan masa dan masalah itu akan kami selesaikan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jamuan Makan Malam Gabungan Usahawan Meru di Rumah Kutai, Meru di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau juga kini sedang giat mengenalpasti beberapa lokasi bagi tujuan pembangunan meliputi pembinaan hotel,pusat beli belah serta taman tema air.

Katanya, kesemua pelan tersebut adalah sebahagian daripada perancangan asal pentadbiran lama namun beberapa masalah menyukarkan segala perancangan itu untuk dilaksanakan.

Justeru, kerajaan Pakatan Perak mensasarkan untuk mengusahakan segala perancangan sebaiknya tanpa memberi beban kepada kerajaan negeri serta syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Beliau turut menyatakan bahawa jadual kerja sehariannya amat padat dalam usaha memenuhi amanah kerajaan Pakatan dalam tempoh 100 hari.

Namun beliau memberikan jaminan kesibukkan itu tidak menghalangnya memberikan komitmen membantu usahawan di negeri ini.

“Saya nak beri satu komitmen kepada rakan-rakan peniaga, kerajaan negeri komited membantu, kita akan bincang dari masa ke masa,”ujarnya.