AROMA dari sebungkus nasi lemak beralaskan daun pisang semestinya membangkitkan selera sesiapa sahaja. Walaupun sudah diberikan berbagai sentuhan moden, namun sukar menandingi resipi dan aroma asalnya.

Ekoran perubahan masa dan kesukaran untuk mendapatkan daun pisang yang semakin mahal, peniaga kini lebih cenderung membungkus nasi lemak menggunakan kertas dan plastik selain polisterin.

Bagaimanapun, dengan inovasi aiskrim nasi lemak yang tular di laman sosial baru-baru ini sehingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat, permintaan nasi lemak daun pisang masih tinggi di pasaran.

Sejarah Nasi Lemak

Mengikut penceritaan orang terdahulu, nasi lemak berasal dari tanah Semenanjung Malaysia selain terkenal di Pantai Timur Sumatera.

Kononnya, pada era Kesultanan Melaka terdapat sepasang ibu dan anak bernama Mak Kuntum dan Seri. Mak Kuntum terpaksa bekerja mengambil upah mengurut demi menyara keluarga selepas suaminya meninggal dunia.

Dijadikan cerita, Mak Kuntum sentiasa keluar awal pagi mencari pelanggan, meninggalkan Seri seorang diri di rumah melaksanakan segala kerja seperti mengemas dan memasak.

Akibat timbul rasa jemu dengan nasi dan lauk pauk yang sama, maka Seri mula menambahkan beberapa bahan ketika memasak nasi. Pada mulanya dia memasukkan lengkuas, lalu menambah sehelai daun pandan ke dalam nasi itu.

 

Apabila Mak Kuntum pulang ke rumah, Seri menghidangkan nasi itu kepada ibunya dan Mak Kuntum merasa hairan dengan kelainan nasi itu lalu ditanya kepada anaknya. “Apa kau masak ni, Seri?”

Seri menjawab “Nasi le Mak!” berulang kali. Bagi mendapatkan kepastian Mak Kuntum bertanya lagi dan Seri menjawab dengan jawapan yang sama “Nasi le Mak!”, sehingga nasi itu kini dikenali sebagai nasi lemak.

 

Daun Pisang Tambah Kesedapan

Menurut salah seorang peniaga nasi lemak, Jamaliah Zainal Abidin, 55, antara faktor yang menyedapkan hidangan warisan itu semestinya lemak santan serta ramuan sambal sebagai pelengkap.

Ditambah dengan ikan bilis goreng, telur rebus, kacang tanah dan timun sebagai hidangan sampingan yang sinonim dengan menu itu.

“Kalau kita jual nasi lemak yang ada tambahan lauk pauk seperti ayam atau kerang, biasanya dibungkus dalam polisterin sebab tidak muat. Tetapi selalunya pelanggan suka yang dibungkus dengan daun pisang.

“Kami masih mengkekalkan cara lama sebab permintaan daripada pelanggan. Bagaimanapun ada suatu ketika kami terpaksa menghentikan penggunaan daun pisang kerana susah untuk mendapatkannya, kalau ada pun, hanya di kedai atau pasar tertentu sahaja dan harganya pula mahal,” ujar Jamaliah.

Dia yang kini mengusahakan perniagaan nasi lemak secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu mengakui penangan menu tradisional kepada pelanggan berbilang kaum.

“Nasi lemak memang sudah menjadi makanan wajib masyarakat kita tiap-tiap hari, sebab itu saya akan sedaya upaya mencari juga daun pisang untuk memuaskan hati pelanggan,” katanya.