KUALA LUMPUR: Lebih 100 penjaja dan peniaga Bazar Ramadan Danau Kota, di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka berniaga di tapak itu sekali gus mengeluarkan lesen perniagaan.

Hal ini berikutan tindakan DBKL yang mengeluarkan notis arahan penutupan bazar sehari sebelum puasa itu disifatkan sebagai sangat keterlaluan dan merugikan peniaga kerana persediaan telah dibuat beberapa bulan sebelumnya.

Jurucakap persatuan penjaja Bazar Ramadan Danau Kota, Mior Rahimi Mior Harun, 67, berkata pihaknya kesal terhadap pengurusan DBKL berhubung status perniagaan tapak mereka yang belum menemui jalan penyelesaian.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sepatutnya memaklumkan penutupan bazar sebulan lebih awal dan bukannya memberi arahan secara tiba-tiba.

“Kami diberitahu sehari sebelum bulan Ramadan itu secara lisan, tiada arahan ataupun notis dikeluarkan sebelum ini berkenaan dengan tapak sedia ada tidak dibenarkan berniaga, mana kami sempat nak buat apa-apa?

“Dalam masa yang sesingkat itu, mustahil peniaga dapat mencari tapak baharu kerana mereka sudah membuat persiapan untuk berniaga pada bulan Ramadan ini, jika ditutup kami akan mengalami kerugian RM2,000 hingga RM6,000,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar permohonan bazar sejak 22 Jan lepas namun dalam tempoh empat bulan tiada sebarang maklum balas daripada DBKL sehinggalah arahan penutupan dikeluarkan Ahad lalu.

Dalam pada itu, Mior Rahimi menegaskan bahawa peniaga tidak akan berganjak daripada berniaga di bazar itu walaupun dihalang DBKL.

“Selama tempoh lebih 20 tahun kami berniaga tapak bazar Ramadan di sini, kami tidak pernah berdepan dengan masalah sedemikian…selagi kami tidak mendapat kata putus daripada DBKL, selagi itulah kami tetap mahu meneruskan perniagaan kerana persediaan sudah dilakukan beberapa bulan lepas, jika tidak berniaga kami tiada pendapatan untuk raya,” katanya.

Peniaga roti canai, Omar Abdul Jalil, 50, berkata beliau telah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk berniaga di tapak Bazar Ramadan Danau Kota semata-mata untuk mencari rezeki tambahan.

“Selama lebih tujuh tahun berniaga di sini, inilah pertama kali kami berniaga tanpa lesen dan hampir setiap hari kami risau gerai-gerai kami disita oleh DBKL, jika tidak boleh berniaga kami hilang punca pendapatan dan kami sangat berharap DBKL dapat memberi lesen kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, berkata tiada sebarang kelulusan dikeluarkan pihaknya terhadap pengoperasian tapak bazar Ramadan Danau Kota pada tahun ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa DBKL telah turun padang untuk memberi amaran kepada penjaja-penjaja kawasan itu supaya jangan meneruskan perniagaan mereka.

“Mereka perlu memohon daripada DBKL jika mahukan lesen untuk perniagaan mereka…sebab tapak tiada kelulusan dan jika mereka masih degil untuk berniaga tindakan sita akan dilakukan,” katanya.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Zon DBKL Muhammad Irwan Abdullah berkata tindakan menyita akan dilakukan sekiranya peniaga didapati masih degil menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan itu.

Beliau berkata ia bagi memastikan keselamatan baik daripada penjaja mahupun pengunjung terjamin.

“Ada sebabnya kenapa DBKL tidak membenarkan mereka berniaga di tapak itu dan jika mereka masih lagi tidak berganjak, kami akan mengambil tindakan menyita gerai-gerai terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA