KUALA LUMPUR : Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Pusat, menyebabkan kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kini umpama telur di hujung tanduk, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia berikutan 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah diwakili PAS yang muncul sebagai antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri ketika mengakui perkara itu, menjelaskan wakil rakyat daripada PAS, boleh bertindak mengikut pendirian PAS Pusat, selari pembentukan kerajaan PN.

“(Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah) banyak bergantung kepada ahli PAS. Kalau mereka tarik diri (ikut keputusan PAS Pusat), jatuhlah kerajaan dia (Mukhriz). Waktu ini mereka tak tarik diri walaupun bercanggah dengan pendirian PAS Pusat.

“Mereka masih kekalkan sokongan kepada Mukhriz dan dia masih Menteri Besar. Tetapi situasi Mukhriz diibaratkan seperti telur di hujung tanduk. Kalau digoncang sedikit, jatuhlah,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kerajaan Kedah yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan tumbang seperti di Johor, Melaka serta Perak susulan pembentukan Kerajaan PN.

Kedudukan kerajaan Kedah diterajui Mukhriz dilaporkan berada dalam keadaan tidak menentu berikutan perpecahan dalam BERSATU, selepas parti itu keluar daripada PH, pada 24 Februari lalu.

Komposisi DUN Kedah ketika ini menunjukkan PAS memiliki kerusi paling banyak iaitu 15, PKR (7), BERSATU (6), Parti Amanah Negara (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Politik Semasa di Langkawi, Sabtu lalu, mengakui pelik apabila PAS masih menyokong kerajaan Kedah yang diterajui PH dan BERSATU.

Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan kerana beliau percaya PAS Kedah akan menerima tekanan daripada kepimpinan Pusat parti itu. -BH