PEMAIN kebangsaan, Nazirul Naim Che Hashim memberi khabar gembira buat penyokong Perak apabila bersetuju terus kekal bersama skuad The Bos Gaurus selama dua musim lagi.

Dia mengesahkan perkembangan itu ketika dihubungi hari ini bagi mengulas mengenai desas desus mengenai kedudukan dirinya bagi musim depan.

Bek kiri pasukan Perak dan skuad Harimau Malaya itu berkata dia sebenarnya ditawarkan kontrak tiga tahun oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Pengakuan Nazirul itu pastinya meredakan keresahan penyokong Perak berikutan spekulasi dia akan dipancing pasukan lain.

“Memang ada tawaran dari pasukan lain tetapi saya ingin kekal di Perak” kata Nazirul.

Sebelum ini pemain tengah, Mohd Nasir Basharuddin dan penjaga gol kebangsaan, Mohd Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy juga menyatakan akan kekal bersama Perak.

Hafizul yang masih mempunyai kontrak bersama Perak sebelum ini dikatakan cuba dipancing pasukan lain.

Seorang lagi pemain kebangsaan, Amirul Azahan Aznan juga masih punyai kontrak semusim bersama Perak.

Kapten pasukan pula, Mohd Shahrom Kalam sebelum ini dikaitkan dengan kepulangan ke Kuala Lumpur.

Keresahan penyokong difahami berikutan sikap membisu PAFA sedangkan pasukan lain sibuk memancing pemain.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebelum ini menyatakan majoriti pemain 2017 dikekalkan dan usaha sedang dilakukan untuk mencari pemain tempatan bersesuaian.

Pada masa sama, Perak juga akan mencari dua awang import baharu untuk memantapkan pasukan tetapi jaminan itu nyata tidak mencukupi kerana peminat ingin bukti sahih.