PADANG RENGAS – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanding semula di Parlimen Gelang Patah dalam PRU14.

Menurutnya, keengganan pemimpin tertinggi DAP itu bertanding sekali lagi di kawasan tersebut menunjukkan beliau tidak mempunyai keberanian untuk sekali lagi bertanding di sana.

Tambah Mohamed Nazri, Kit Siang sebenarnya tidak memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat semenjak memenangi kerusi itu dalam PRU13.

“Beliau jadi wakil rakyat Gelang Patah, bila tanya kenapa tak bertanding di sana, dia kata Gelang Patah sudah tiada, sekarang Iskandar (Islandar Puteri).

“Ini apa budak-budak punya cerita ni. Sebenarnya dia tak servis. Kalau berani lawanlah Jason Teoh (Ketua MCA Bahagian Gelang Patah) tapi dia tak berani sebab dia tak servis.

“Sekarang ini dia cari jalan untuk kawasan lain pula. Kawasan yang orang belum pilih dia sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Walkabout Pemimpin Sempena Fiesta Perpaduan dan Kebudayaan, di sini, tengahari tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu melabel Kit Siang sebagai ‘harimau hilang taring’ kerana kini tidak lagi lantang melawan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegasnya, Tun Mahathir berjaya menjinakkan Kit Siang sedangkan dulu beliau antara pemimpin pembangkang yang sering menentang Mahathir.

“Lim Kit Siang dulu cuba tengok dalam parlimen, apa yang dia tak cakap kepada Mahathir. Semua keluar, kata-kata kesat, maki hamun kutuk Mahathir tapi sekarang boleh duduk sama-sama.

“Ikut saja belakang Mahathir macam satu harimau yang hilang taring. Dia sudah pun dijinakkan Mahathir. Adakah masyarakat Cina nak percaya orang seperti ini?” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan tidak mahu menipu rakya seperti mana DAP menipu masyarakat Cina dan Melayu selama ini – sinar