KAMPAR: Menteri Pelancongan dan Kebuyadayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau menghormati mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed selaku bekas bossnya.

Namun katanya, apabila Tun Mahathir memilih menjadi pembangkang dan melontarkan tuduhan kepada kerajaan, beliau terpaksa mempertahankan kerajaan kerana menjadi salah seorang menteri.

“Saya menjawab tuduhan yang dibuat dan ia bukan tindakan kurang ajar kerana Tun Mahathir memilih menjadi pembangkang dan melontarkan tuduhan kepada kerajaan.

“Saya pula sebahagian daripada kerajaan dan bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan dan apa-apa yang dikatakan oleh saya secara kasar, ia adalah respon kepada soalan yang kasar oleh Tun Mahathir, jadi tiada kaitan dengan hormat saya kepadanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.

Malah katanya, Tun Mahathir lebih berusia daripadanya dan beliau tetap akan memberikan penghormatan sewajarnya.

Nazri turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya beliau takut berdepan dengan dengan mantan Perdana Menteri itu pada 25 Mac ini.

“Saya tetap akan datang.. ini kawasan saya,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Peang Dunia Kedua di Kampar pada Jumaat.

Beliau turut menyangkal dakwaan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kononnya tindakan beliau menghadiri perdebatan itu sebagai pelanggaran disiplin parti .

“Mengadakan perbahasan tidak melanggar disiplin parti UMNO dan saya baru sahaja menghadiri mesyuarat jemaah menteri, malah perkara ini langsung tidak dibincangkan oleh para menteri kerana tidak menjadi kesalahan,” katanya.