LUBUK MERBAU: “Nak tahu saya bisu atau tidak, tunggulah tujuh haribulan nanti,” tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz ketika mengulas kenyataan daripada Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri menyangkal dakwaan Dr Mahathir kononnya dia tidak berbual dan hanya diam seribu bahasa di sepanjang pertemuan singkat mereka di Kuala Kangsar.

“Di majlis makan cendol itu, dia tak tanya apa-apa pun pada saya, jadi saya diamlah sebab itu majlis kendalian mereka.

“Dia (Tun M) tak tanya apa-apa pun, saya diamlah… bukannya saya membisu kerana takut atau sebagainya lagipun Hamidah sudah beritahu tiada ucapan dan hanya santai sahaja, jadi saya fahamlah ini majlis dia dan tak mahulah saya bercakap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Perasmian Serentak Masyuarat Agung UMNO Cawangan Bahagian Padang Rengas di Dewan Millenium Lubok Merbau pada Ahad.

Nazri mengharapkan wacana yang bakal berlangsung pada 7 April ini tidak dibatalkan kerana difahamkan wacana seperti itu yang dikelolakan Karangkraf sudah dijalankan sebanyak empat puluh enam kali.

“Tidak ada alasan sebenarnya untuk pihak polis tidak memberi izin untuk adakan wacana nanti, apa pun nak tahu saya bisu atau tidak tunggulah tujuh haribulan nanti,” katanya
Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menolak tuduhan Dr Mahathir mengenai kemampuannya dalam membangunkan kawasan di Parlimen Padang Rengas.

“Saya akan membawa pembangunan mengikut keperluan dan mengambil kira latar belakang di Parlimen Padang Rengas, itu kawasan pekan kecil takkanlah nak letak sampai tiga puluh tingkat bangunan.

“Gila lah kalau macam itu, saya belum gila lagi… kalau saya gila mungkin saya buat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Nazri, beliau turut dimaklumkan bahawa Naib Presiden PPBM Perak, Datuk Hamidah Osman berminat untuk bertanding di Parlimen Padang Rengas.

“Hamidah ada beritahu, Tun M pun sama jelaskan pada saya yang dia (Hamidah) minat bertanding di sini, saya kata tiada masalah lagi ramai lagi bagus sebab ini demokrasi.

“Kalau sampai empat atau lima parti hendak menjatuhkan UMNO, sama sama kita lawanlah,” ujarnya.