PADANG RENGAS: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini mengulangi serangannya terhadap bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Dalam serangan terbarunya, Nazri menyifatkan Rafidah sebenarnya dengki dan cemburu dengan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurutnya, tindakan bekas menteri kanan itu mengungkit kembali perihal National Feedlot Corporation (NFC) seolah-olah menunjukkan beliau masih terkesan dengan kekalahannya kepada Shahrizat sembilan tahun lepas.

Malah, kenyataannya mendakwa sudah 10 tahun tidak menjadi ahli Umno juga membuktikan beliau kecewa kerana digugurkan pada 2008 dan kemudiannya tewas pula kepada Shahrizat pada 2009 bagi jawatan Ketua Wanita Umno.

“Sebab itu saya rasa dia memang dengki dan cemburu dengan Shahrizat. Dia cakap dah 10 tahun tak jadi ahli Umno, tak bayar yuran. Kita tak tahu pun dia tak bayar yuran Umno, dia buka pekung sendiri.
“Maknanya ia mengesahkan bahawa dia kecewa kena gugur. Jadi sah, dia kecewa la tu. Dia sebenarnya mengesahkan apa saya cakap sebelum ini.
“Hari itu saya kata dia meroyan tapi sekarang saya kata dia merempit, marah sangat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam satu majlis di Padang Rengas, pada pagi Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut mempersoalkan tindakan Rafidah mengungkit kembali kes National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan Shahrizat.
Menurutnya, mahkamah memutuskan tiada kes dalam isu tersebut dan sepatutnya Rafidah menghormati perkara tersebut kerana ia merupakan keputusan mahkamah.
“Saya tahu dia pakai kaca mata tebal tapi bacalah sikit surat khabar. Kan mahkamah dah gugurkan kes itu, jadi tiada kes.
“Saya ingat akta anti fake news dibuat kerana orang macam dia sebab dah jadi fake pun berita itu (berita mengaitkan Shahrizat dengan NFC),” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri mengucapkan terima kasih kepada Rafidah kerana memberitahu bahawa bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu tidak memikirkan perihal dirinya dalam kehidupan seharian.
“Terima kasih kepada Rafidah kerana beritahu orang ramai dia tidak pernah fikirkan pasal saya, kalau tidak saham saya dalam pasaran jatuh kalau seorang makcik tua fikir saya hari-hari.
“Saya tak mahu dia fikir pasal saya hari-hari, jatuh saham saya nanti,” ujarnya lagi.