Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengenalpasti dua projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan di Perak melalui Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2016 – 2025 atau Blueprint 2.0.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, projek yang diklasifikasikan sebagai “node” pertumbuhan tersebut ialah Greater Kamunting Conurbation (GKC) dan Manjung Aman Jaya Maritime City.

IMG-20170727-WA0037

Menurut beliau, GKC merupakan projek usahasama NCIA dengan kerajaan negeri Perak sebagai sebahagian insiatif negeri ini untuk mencapai sasarannya menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Projek Manjung – Aman Jaya Maritime City pula akan membuka potensi ekonomi di daerah tersebut melalui tujuh kluster utama iaitu pembuatan, pertanian, perikanan dan akuakultur, pelancongan, infrastruktur, hab halal serta sumber manusia dan tenaga kerja.

“Inisiatif ini merupakan usaha untuk meluaskan manfaat ekonomi kepada kawasan-kawasan yang menjadi keutamaan di Perak dengan memacu pertumbuhan KDNK serta meningkatkan kemampanan melalui komponen-komponen sosioekonomi serta fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Blueprint 2.0 di sini pada Khamis. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah merasmikan majlis berkenaan.

Redza Rafiq turut memberitahu, Blueprint 2.0 yang berinspirasikan Model Ekonomi Baharu (NEM) itu juga menggariskan 80 projek strategik lain yang akan memacu pertumbuhan ekonomi merentasi empat negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Perlis, Penang dan Kedah.

“Berpaksikan tema ‘Pertumbuhan Berteraskan Kesaksamaan Sosial’, pelan ini bertujuan untuk menjana pembangunan ekonomi yang mampan serta inklusif, melalui pewujudan industri baharu, pelaburan dalam pembangunan modal insan serta pewujudan suasana pekerjaan dan keusahawanan yang strategik,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, Blueprint 2.0 berkenaan akan memberi dimensi baharu kepada perancangan pembangunan negeri Perak selaras dengan perkembangan dunia ketika ini.

“Diharapkan kerangka ini akan dapat membuat anggaran dan juga beberapa jangkaan capaian untuk menentukan, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita mencapai objektifnya iaitu pertumbuhan bernilai RM300 bilion.

“Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan kerana mewujudkan Blueprint 2.0 ini bagi memastikan keberkesanannya selepas diwujudkan pada tahun 2007,” katanya.

Beliau memberitahu, pembangunan yang dirancang dalam kerangka itu juga akan memastikan pertumbuhan sosio-ekonomi diagihkan secara sama rata.

“Dari segi pertumbuhan sosio-ekonomi, ianya akan diagihkan secara lebih baik dan saksama dengan kawasan-kawasan terpencil juga terlibat.

“Ianya amat selari dengan usaha kerajaan negeri selama ini. Sebagai contoh, kita mahu mewujudkan 41 pekan kecil di seluruh Perak dan 14 daripadanya telah pun terbina,” jelas Menteri Besar.