DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan generasi muda dan pengundi kali pertama bahawa segala pembangunan dan perancangan negara akan musnah seterusnya ranap jika mereka memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang termasuk janji mereka dalam manifesto pilihan raya hanya memberi kesan buruk kepada negara termasuk generasi muda.

“Jangan dengar tohmahan pembangkang yang pelbagai kerana mereka berhajat untuk menjatuhkan kepimpinan dan kerajaan sedia ada.

“Mereka bercita-cita untuk mengadakan perubahan kononnya tetapi dari akujanji yang diperlihatkan menunjukkan bahawa mereka bukan mahu menjanjikan perubahan yang lebih baik tetapi manifesto yang diperlihatkan menunjukkan mereka akan memusnahkan dan meranapkan segala perancangan dan pembangunan yang ada dalam negara.

“Kalau kita mahu kesinambungan maka kita tak ada pilihan melainkan terus menyokong BN dalam PRU-14 ini kerana hanya Barisan Nasional (BN) yang dapat melaksanakan program yang telah dirancangkan sebagaimana yang terhampar dalam manifesto PRU-14 kerana dari segi rekod kecemerlangan, BN telah melaksanakan aku janji iaitu manifesto PRU yang lalu dengan pencapaian sebanyak 99.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Belia Negaraku anjuran Pemuda BN dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di Bagan Datuk hari ini.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyerahan geran bagi pembiayaan latihan kemahiran bidang pertanian bernilai RM440,000 oleh Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-GRO) Nordin Abdul Malek kepada 30 belia di Parlimen Bagan Datuk.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Senator Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Ahmad Zahid berkata, BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta manifesto BN yang telah diumumkan termasuk manifesto khusus bagi orang muda , mempunyai pelbagai aku janji yang pastinya akan ditunaikan kerajaan jika terus diberi mandat selepas PRU nanti.

Katanya, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang memfokus kepada generasi muda atau Gen Y dan milenium antara perancangan strategik serta kepedulian kerajaan terhadap golongan itu tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama kerana mereka adalah aset berharga negara dan kerajaan mahu memastikan kepentingan mereka dan negara.

“Kesungguhan ini dapat diperhatikan daripada komitmen yang diperlihatkan oleh Perdana Menteri.

“Oleh kerana itu, biarpun terjahan hujanan petir dan kilat kepada kerajaan BN, terutama kepada Perdana Menteri, anak-anak muda terutama pengundi pertama kali atau pengundi muda, kita harus terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengundi dan menyokong calon-calon BN sama ada DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen, itu cara atau kaedah untuk kita menyokong,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan termasuk dalam industri penangkapan ikan tuna serta kilang pemasangan kenderaan dan enjin elektrik akan diwujudkan di Bagan Datuk dalam tempoh lima tahun selepas PRU-14, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk Parlimen itu.

“Sebelum karnival ini diadakan pun kita dah tawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Bagan Datuk,” katanya sambil turut berjanji akan membina trek motosikal atas permintaan golongan muda di Parlimen itu.

Terdahulu, Khairul Azwan berkata, karnival kerjaya iaitu Ekspo Pemuda BN yang turut diadakan di sini hari ini menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan khusus kepada anak muda di Bagan Datuk.

Beliau berkata, karnival kerjaya kali ini adalah yang ke-39 sejak empat tahun lalu dan komitmen itu bukan bermusim atau kerana pilihan raya tetapi kerana sedar keperluan peluang kerjaya diperlukan golongan muda – hmetro