Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Satu polisi  terancang diperlukan dengan segera untuk menyediakan mekanisme untuk menghadkan serta mengendalikan kemasukan pekerja asing ke dalam negara ini.

Menteri Sumber Manusia, YB M Kulasegaran berkata pihaknya juga akan mengerahkan unit penguatkuasaan (enforcement team) untuk mengendalikan kadar pekerja asing yang berlebihan malah tidak berdaftar dengan kementerian di seluruh negara.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga berkata bahawa ianya juga akan dikendalikan dengan mengambil kira kepentingan entiti perniagaan untuk memastikan kelangsungan komuniti tersebut di Malaysia.

“Tiada sebarang persoalan diwujudkan mengenai samada kita mahukan pekerja asing, kerana kita mahu pekerja asing, tetapi ianya (kemasukan) perlu dilakukan berdasarkan dengan keperluan dan bukan datang ke sini dan merampas pekerjaan rakyat Malaysia.

“Saya rasa terdapat keperluan segera untuk melaksanakan polisi dan keputusan segera untuk mengendalikan perkara ini, untuk kebaikan negara ini. Buat masa ini, kita sedang menghantar unit penguatkuasan (enforcement team) ke setiap tempat,salah satu aspek daripada perkara ini, namun pada masa yang kita bersifat mesra-perniagaan, kita hendak komuniti perniagaan untuk berkembang,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Sambutan Ulang Tahun ke-99 dan Majlis Memperingati Tun  V T Sambanthan di Dewan Arul Oli Mandram, Buntong, dekat sini pada petang Sabtu.

Kulasegaran menegaskan bahawa tujuan utama untuk melihat kepada konsep Singapura mengendalikan pekerja asing sebelum ini adalah keberkesanan Singapura dalam memastikan kelancaran pengurusan pekerjaan yang efektif.

“Kelebihan model pengurusan Singapura adalah pekerja asing tidak akan melarikan diri daripada majikan, tetapi di Malaysia selepas mereka bekerja selama satu hingga bulan mereka mula lari,”ujarnya lagi.

Katanya, antara masalah utama yang berlaku buat masa ini adalah kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal dan terurus di negara ini.

Kulasegaran berkata pihak kementerian juga bimbang bahawa antara faktor utama majikan di Malaysia memilih pekerja asing adalah disebabkan keterbukaan warga asing untuk bekerja lebih masa dan menerima penginapan kurang kondusif serta bersedia untuk bekerja di waktu cuti umum atau hujung minggu.

“Pekerja asing boleh berkompromi, mereka boleh bekerja lebih masa…bukan untuk rakyat Malaysia, (tidak berdepan) situasi sebegini, kerana di dalam undang-undang ada ditetapkan masa bekerja, tetapi apa-apa sekalipun, rakyat Malaysia akan diberikan keutamaan.

“Di sebalik semua ini, wang tunai mencecah billion ringgit dihantar balik ke negara mereka, kita hendak menghentikan perkara ini, kalau pekerja tersebut berasal dari Malaysia, wang ringgit tidak akan dialihkan ke luar negara.

“Buat masa ini, perkara ini akan dibawa untuk perbincangan dan diberikan perhatian oleh Mesyuarat Kabinet. Terdapat beberapa mekanisme yang dibincangkan dan kita sedang melihat perkara itu.

Sementara itu, Kulasegaran berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir untuk mengumumkan kadar gaji minimum dan semua pihak kepimpinan sedang berbincang mengenai keputusan tersebut sebelum menyerahkannya kepada Kabinet.