GOPENG: “Ini bukan negeri saya, ini bukan negeri kamu, negeri ini milik semua…jagalah baik-baik,”.

Demikian teguran dan peringatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada sesetengah individu yang tergamak menggunakan pentas politik tanpa memikirkan tanggungjawab sebagai seorang anak Perak.

cc883ae5-bf99-496f-a5e4-e6af896c81f9

Jelasnya, setiap rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang mempunyai satu amanah untuk memastikan keamanan yang terbina terus utuh tanpa hanya menumpukan kepada kepentingan peribadi semata-mata.

Dr Zambry menegaskan setiap daripada rakyat akan tahu mensyukuri nikmat keamanan sedia ada sebagai sesuatu yang amat berharga sekiranya mereka dapat membandingkan pergolakan, kacau-bilau serta perperangan di negara lain.

“Inilah negara kita, negara Malaysia dan inilah negeri kita, negeri Perak…inilah tempat terbaik untuk kita menjalani kehidupan, tak kira macam mana pun orang kata.

“Ada juga pihak yang mengatakan itu ini tak elok, kerja dia hanya menghentam semua pihak tetapi saya yakin kalau individu ini pergi ke tempat lain baru dia sedar,”katanya dalam ucapan beliau.

Dr Zambry berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina sempena Program Permukiman Daerah Kinta di SJK (C ) Kopisan pada Selasa.

Katanya beliau menyedari pelbagai serangan termasuk maki hamun dan fitnah yang dilontarkan kepadanya namun baginya itu bukanlah sesuatu yang menjadi amalannya.

Memetik perkataan dalam bahasa Mandarin “he ping” atau “ping an”, Dr Zambry berkata rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu mengamalkan nilai murni baik dalam kehidupan seharian sekiranya ingin melihat Perak terus berjaya.

“Berdamai, jangan bergaduh, anda boleh ada parti politik tersendiri tapi jangan guna pentas untuk hentam maki semua orang,..sebenarnya kalau mereka boleh buat, saya pun boleh.

Tapi kalau semua buat macam (politik maki hamun) cuba bayangkan apa akan jadi…habislah negeri ini,”ujarnya.

Ucapan Menteri Besar itu merujuk kepada amalan pembangkang yang gemar membuat fitnah serta menggunakan pentas politik untuk menghentam kepimpinan beliau lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini berikutan menjelangnya pilihan raya ke-14 tidak lama lagi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.