PARIT BUNTAR – Empat suspek dicekup polis setelah motosikal dinaiki dirempuh kereta mangsa yang nekad mengejar mereka sewaktu sedang melarikan diri di Taman Murni, di sini pagi Selasa.

Salah seorang daripada kumpulan sahabat yang disamun dikatakan turut ditetak dua suspek di bahagian kepala dengan menggunakan parang sehingga cedera.
Mangsa, Mohamed Mazis Mohamed Mokhtar,25, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi ketika dia bersama isteri, Atiqah Nordin, 25, dan tiga rakan lain hendak keluar dari rumah untuk bersarapan pagi.

Menurutnya, dia dan isteri yang berasal dari Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah salah seorang rakan mereka di Taman Murni, di sini setelah mereka merancang bercuti di Pulau Pinang.

“Sewaktu kejadian berlaku, saya sudah berada dalam kereta, manakala isteri sedang membuang sampah di pekarangan rumah sebelum diacukan parang di leher oleh seorang suspek bermotosikal.

“Tindakan suspek muncul tanpa disedari mengejutkan kami dan suspek bersama tiga lagi rakannya kemudian mengarahkan kami menyerahkan segala barangan berharga,” katanya ketika ditemui media di Balai Polis Simpang Lima, di sini.

Difahamkan mangsa tercedera ditetak parang oleh dua suspek kini sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar mengesahkan kejadian dan memberitahu bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan.