MIRI: Nelayan asing dari Vietnam dan Thailand semakin berani menyusup masuk ke perairan Miri mencuri hasil laut Sarawak, malah mereka didakwa memiliki ‘peralatan khas’ mengesan kehadiran bot penguat kuasa negara ini.

Taktik mengebom ikan sudah tidak digunakan lagi kerana ia mudah dikesan pihak berkuasa Malaysia, namun mereka licik beralih arah kepada penggunaan tunda gading, termasuk menggunakan bahan kimia untuk melipatgandakan hasil tangkapan ikan di negeri ini.

Tekong nelayan berusia 60 tahun, yang enggan namanya didedahkan, berkata antara modus operandi ‘penyamun’ dari negara jiran itu adalah mengecat nombor pendaftaran sama membabitkan dua kapal berbeza, dengan setiap kapal dinaiki sekurang-kurangnya enam individu.

“Teknik itu (tunda gading) membolehkan nelayan asing terbabit menangkap ikan sehingga puluhan tan sehari. Bukan itu sahaja, apa sahaja kaedah diharamkan di negara ini dalam industri perikanan, mereka akan gunakan, termasuk penggunaan bahan kimia yang mampu menghancurkan khazanah laut kita.

“Mereka sudah lama mengaut hasil laut Sarawak sejak sekian lama, jadi tolonglah kepada pegawai bertanggungjawab agar memandang berat isu ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan periuk nasi nelayan tempatan, tetapi turut membabitkan soal kedaulatan negara ini,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Sementara itu, pemancing laut dalam, Jali Seman, 56, berkata beliau kerap terserempak dengan nelayan asing di kawasan perairan Bronia, di sini, kerana kumpulan pencuri itu sebenarnya tidak pernah menyembunyikan rasa takut dengan kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Seperti kawasan ini milik keluarga mereka, nelayan asing tidak pernah gentar kembali melakukan perbuatan sama, walaupun sudah ditangkap pegawai penguat kuasa. Mereka akan kembali mengaut apa yang ada di sini selepas bayaran kompaun ditunaikan dan mereka dilepaskan,” katanya.

Jali berkata, kemasukan semula nelayan asing yang sudah berpuluh kali ditangkap berlaku, walaupun mereka sudah dicekup pihak berkuasa.

“Kompaun mereka boleh bayar, dan mereka akan menceroboh masuk semula ke perairan negeri ini bila dibebaskan, situasi itu akan berlaku berulang kali seolah-olah pihak berkuasa negara ini sudah mati akal mahu menyelesaikan pencerobohan nelayan asing,” katanya – berita harian