KOTA KINABALU: Seorang tekong bot warga tempatan bersama tiga anak kapal warga Filipina didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan menggunakan racun atau bahan pencemar untuk menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Mengalum, di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Abdul Kasme Hussin, 35, bersama tiga nelayan warga Filipina yang juga anak kapalnya, Sonil Kaboh, 31; Raj Kinarih, 28; dan Jinardo Amildon, 32, didakwa mengikut Seksyen 25(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama.

Abdul Kasme yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dikenakan jaminan RM10,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tiga tertuduh lain.

Hakim Azreena Aziz menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhampiran perairan Pulau Mengalum, kira-kira jam 1 tengah hari, 8 Jun lalu.

Sementara itu, Sonil, Raj dan Jinardo masing-masing dihukum penjara lima bulan dan empat bulan serta satu sebatan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah.

Abdul Kasme turut didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan imigran haram masuk dan berada dalam bot miliknya, namun kesnya akan disebut semula pada 4 Julai depan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Nurun Nafizah Muhammad Iyen Atim – berita harian