TAIPING: Dua nelayan didenda RM4,000 seorang atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak memutuskan, hukuman penjara itu berkuatkuasa sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh, Ong Leng Soo, 48, dan Teoh Tian Sim, 52, didakwa memiliki satu unit piring parabola, satu unit penukar blok-berhinggar rendah dan satu unit dekorder tanpa jenama di kediaman masing-masing.

Leng Soo dituduh memiliki peralatan komunikasi tersebut di Jalan Pantai, Kuala Kurau pada pukul 10.45 pagi, 29 Julai 2015 manakala Tian Sim dituduh melakukan kesalahan sama pada pukul 11.40 pagi di alamat dan tarikh sama.

Kedua-duanya dikesan memiliki peralatan tersebut dalam satu serbuan oleh Polis Marin Wilayah (1) hasil maklumat Biro Aduan Pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kedua-dua nelayan itu didakwa mengikut Peraturan 37, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SKMM, Norhani Mohammad Adzhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.