Oleh: Nazialita Geynna Maharan
MANJUNG: Golongan nelayan di negeri Perak dinasihati agar tidak bersikap tamak dalam mengaut hasil laut supaya tidak menjejaskan ekosistem perairan secara berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pendaratan ikan di perairan negeri ini telah menunjukkan penurunan ketara sejak kebelakangan ini.
Katanya, nelayan laut dan darat juga perlu mempunyai ilmu seimbang dan menghindari kaedah menangkap ikan secara tradisional yang mendorong kepada gangguan ekosistem.
“Kita memberikan panduan kepada mereka kerana hanya nelayan sahaja tahu di mana lubuk ikan dan disebabkan mereka tahu, mereka tidak boleh menjala sesuka hati dan anak ikan yang kecil, tidak boleh diambil.
IMG-20171026-WA0002“Ini kerana tindakan sebegini bakal mengganggu ekosistem kelesterian sumber makanan berasaskan ikan.
“Kalau kita lihat, berlaku pengurangan pendaratan ikan, ikan-ikan ini berpindah ke perairan luar kerana keseimbangan ekosistem sudah tiada.
Inilah sebab utama untuk tidak bersikap tamak, dan mesti ada ilmu dalam menjadi nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Moh Santai di Teluk Senangin bersama Nelayan sempena Program Permukiman Menteri Besar Daerah Manjung di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Penyiaran Perak, Sabri Mansor yang menyertai pelepasan anak benih penyu dan penanaman pokok Merambong di pantai peranginan itu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, sebanyak RM277,000 telah disalurkan kepada 555 Sukarelawan Perikanan (SUPER) di Perak melalui pemberian jaket keselamatan dan tabung insulasi bagi membantu meringankan beban mereka dalam mencari rezeki.