SEKINCHAN: Seorang nelayan yang hilang sejak kelmarin, ditemui lemas di perairan Pasir Panjang, jam 9.40 pagi ini.

Mangsa, Shahrul Naim Mohamad Sukor, 38, dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas keluar menangkap ikan berseorangan.

Mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di perairan itu, pada kedudukan kira-kira 20 kilometer dari Pantai Redang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Abu Bakar, berkata pihaknya sebelum itu menggerakkan semula operasi mencari dan menyelamat (SAR), jam 8 pagi ini.

“Kita terpaksa menangguhkan pencarian pada jam 8 malam semalam kerana sudah gelap.

“Pagi ini, empat anggota diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Tengku Muhammad Iqbal Tengku Abu Bakar menggunakan bot penyelamat menyusuri perairan berkenaan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Khairul Anuar, anggota bomba turut dibantu enam nelayan tempatan bersama tiga bot dalam pencarian itu.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Tali Air Enam, di sini, kemudian diserahkan kepada polis jam 10.40 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasa – berita harian