LUMUT: Sampan yang dinaiki oleh dua orang nelayan terbalik, menyebabkan mereka terjatuh ke dalam laut berdekatan barat laut perairan Pantai Remis di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kedua-dua mangsa, Loh Ka Wai, 33 dan Sarawanana Loi Kim Leng, 31 berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira jam 8.45 pagi.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Pantai Remis pada jam 9.25 pagi dan dibawa ke klinik untuk rawatan susulan.

Beliau menasihatkan nelayan supaya turut mengambil langkah keselamatan walaupun mereka telah biasa dengan keadaan laut.

“Kami dapati kedua-dua mangsa tidak memakai jaket keselamatan yang merupakan benda penting sekiranya keluar ke laut, seperti juga tali pinggang keselamatan ketika kita menaiki kenderaan darat.

“Pihak Maritim Malaysia sentiasa menegaskan kepada semua komuniti maritim untuk mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan bagi mengelakkan sesuatu bencana menjadi lagi buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.