HUTAN MELINTANG: Seorang nelayan menemui ajal dipercayai lemas selepas jatuh ke dalam laut dalam kejadian sekitar 4.2 batu nautika arah tenggara Pulau Buloh, dekat sini pada pagi Khamis.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Khee Kui Heng, 38, dipercayai telah keluar ke laut dari arah Hutan Melintang menuju ke Pulau Sembilan untuk menangkap ikan sekitar pukul lima pagi pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan nelayan itu sekitar pukul 8.15 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa, yang berada di dalam bot bersama seorang tekong telah terjatuh ke dalam laut ketika sedang menurunkan pukat hanyut untuk menangkap ikan.

“Sekitar jam enam pagi, mangsa gagal ditemui sebelum gerakan Mencari dan Menyelamat (SAR) oleh Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat digerakkan.

“Sekitar jam 11.15 pagi, mangsa yang lengkap berpakaian ditemui terapung sekitar 1.1 batu nautika dari jarak dipercayai terjatuh,”jelasnya.

Marzukhi berkata, mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia, dan dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi proses bedah siasat.