LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menasihatkan nelayan supaya memasang aplikasi sistem pengesan pada bot mereka bagi mengelakkan mereka dari memasuki kawasan perairan negara jiran.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Amri A Raof berkata, sistem pengesan yang digunakan nelayan penting bagi memastikan kedudukan sebenar bot mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di laut.

“Mengikut statistik kita kebanyakan bot kelas c yang berpangkalan di Pantai Remis dan Hutan Melintang kerap ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki perairan mereka.

“Jadi, Maritim menyarankan agar nelayan memasang sistem pengesanan yang diluluskan oleh Jabatan Perikanan sebagai langkah keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas latihan menembak anggota Maritim di Lapang Sasar Abdul Samad, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Tambahnya, beberapa kes membabitkan bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia yang mendakwa berada di perairan kawasan negara itu walaupun disangkal oleh nelayan tempatan.

“Jadi amat penting sistem pengesan ini dipasang pada bot mereka bagi mengingatkan mereka supaya tidak memasuki perairan negara jiran dan ditahan pihak berkuasa sana,” katanya.

Sementara itu, Amri turut memaklumkan pihak Maritim Perak sering menerima aduan daripada nelayan pantai membabitkan aktiviti pukat tunda dan rawa sorong yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Pihak kami menerima sekurang-kurangnya dua hingga tiga aduan dalam seminggu bukan sahaja melalui panggilan malah juga di dalam Facebook yang disalurkan persatuan nelayan.

“Kawasan kerap kami terima aduan adalah Pantai Remis, Pulau Pangkor dan Bagan Datuk di mana baru-baru ini dua bot haram dipercayai milik nelayan tempatan di tahan selepas mereka terjun laut melarikan diri,” katanya.

Menurut Amri, antara alasan yang kerap diberikan nelayan membabitkan pencerobohan zon tangkapan ikan adalah bimbangi ditahan dengan pihak berkuasa Indonesia jika ke tengah laut dan kawasan persisiran lebih banyak ikan – sinar