PARIT BUNTAR : Seramai 1,060 nelayan pukat kenka dua bot dari Kuala Kurau dan Tanjung Piandang dekat sini sepakat untuk tidak ke laut pada setiap Ahad bermula hari ini kerana ingin memulihara sumber perikanan yang kian merosot.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokhri, berkata kumpulan nelayan berkenaan sedar hasil tangkapan mereka tidak sebanyak yang dinikmati sejak lima tahun lalu malah mereka juga perlu berada di laut lebih lama tetapi hasil tangkapan tidak seberapa selain saiz ikan yang semakin mengecil.

“Dengan kesedaran ini, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kurau bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak telah mengadakan perjumpaan untuk merangka satu pelan Pengurusan Perikanan Secara Komuniti Setempat (CBFM).

“Persatuan Nelayan bersetuju untuk mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan mengadakan hari tidak ke laut pada setiap hari Ahad sebagai langkah awalan untuk memulihkan sumber perikanan di perairan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaki berkata, sejak 2015, hasil tangkapan oleh pukat kenka dua bot mulai merosot setiap tahun dengan kawasan tangkapan juga terhad iaitu hanya lingkungan lima batu nautika (9.26 kilometer) dari pantai hingga 12 batu nautika (22 kilometer) bermula di Bagan Tiang di utara dan berakhir di Kuala Gula di bahagian selatan.

Dengan keluasan operasi hampir 162 kilometer persegi bagi menampung 526 vesel pukat kenka dua bot, serta sumber perikanan semakin merosot, satu tindakan segera perlu di ambil bagi memulih sumber perikanan.

“Tindakan yang diambil ini memerlukan pengorbanan daripada nelayan kerana nelayan juga perlu terbabit secara langsung dalam pengurusan sumber perikanan dan ia bukan hanya terletak di bahu Jabatan Perikanan sahaja.

“Untuk mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan, di samping mengawal bilangan vesel dan bilangan nelayan, musim tertutup juga adalah satu kaedah untuk memulihkan semula sumber perikanan,” katanya.

Pada peringkat permulaan, bermula 1 Januari 2020, pihaknya cuba untuk melaksanakan satu hari tidak ke laut untuk setiap minggu dan selepas enam bulan jabatan akan mengkaji impaknya terhadap sumber.

Jabatan juga akan menambah baik usaha bagi memastikan sumber perikanan pulih ke tahap asalnya termasuk melaksanakan kaedah musim tertutup yang akan turut diguna pakai terhadap peralatan yang lain seperti pukat tunda, jerut bilis atau mana-mana sumber perikanan yang kian merosot.