PARIT BUNTAR – Golongan nelayan di sini mengeluh kerana kehidupan seharian mereka semakin terhimpit selepas tidak lagi menerima Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan daripada kerajaan.

Rata-rata nelayan yang ditemui memberitahu, de­ngan pen­da­patan harian yang tidak menentu terutama pada musim tengkujuh, elaun itu banyak membantu mereka menampung kos membeli barangan keperluan harian sebelum ini.

Sehubungan itu, mereka me­rayu kepada kerajaan supaya mengembalikan semula elaun tersebut.

Seorang nelayan di Kuala Bagan, Osman Mat Saad, 48, masih tertanya-tanya mengapa elaun bulanan tidak lagi diberikan kepada nelayan.

Katanya, elaun RM300 sebulan yang diterima sebelum ini membantu mereka meri­ngankan kos sara hidup terutama yang mempunyai keluarga besar.

“Secara purata setiap kali ke laut, kosnya kira-kira RM100, namun tangkapan belum tentu banyak.

“Kami berharap nasib kami diberikan perhatian dan kembalikan semula elaun bulanan untuk kami,” katanya.

Mohd. Faizal Mat, 25, yang mengambil alih pekerjaan bapanya yang meninggal dunia dua tahun lalu juga berharap elaun sara hidup untuk nelayan dikembalikan.

Dia memberitahu ada memohon elaun tersebut sebagai menggantikan bapanya yang menerima bantuan sama sebelum ini.

“Elaun sara hidup untuk kami amat besar maknanya terutama jika hasil laut tidak begitu banyak.

“Tanpa kad elaun sara hidup nelayan, saya menghadapi masalah di laut terutama jika ada pemeriksaan oleh pihak berkuasa, jika tiada kad tersebut kami boleh dianggap penceroboh,” katanya – utusan online