KOTA TINGGI: Kumpulan nelayan di nelayan di Tanjung Balau dan Tanjung Lompat di sini, berharap kerajaan membantu mereka mendapatkan pampasan berikutan kerugian yang dialami apabila kawasan berkenaan terjejas dengan tumpahan minyak sejak kelmarin.

Pengerusi Koperasi Sinar Tanjung Balau, Salahuden Abu Bakar, berkata pendapatan lebih 50 nelayan terjejas kerana tidak dapat turun ke laut selain peralatan menangkap ikan termasuk bubu serta jaring mengalami masalah dan mungkin tidak dapat digunakan lagi.

“Lebih 40 bubu baharu bernilai RM8,000 dalam peringkat akhir pembuatan yang direndam di laut rosak kerana disaluti minyak pekat. Keadaan itu menyebabkan ia mungkin tidak dapat digunakan kerana walaupun dibersihkan bau minyak tetap ada dan ikan tidak memasuki bubu itu.

“Lebih 20 bubu sedia ada yang diletakkan di dasar laut juga mungkin mengalami kerosakan dan jika tidak rosak pun, tiada ikan yang datang ke kawasan berkenaan disebabkan tumpahan minyak ini,” katanya ketika ditemui di jeti Tanjung Balau di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tompokan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang kira-kira 10 kilometer kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Jabatan itu percaya tumpahan itu berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki sejak tiga hari lalu – Berita harian