MUARA TEBAS: Guna pendaftaran bot palsu dan lagak seperti nelayan tempatan. Itu modus operandi digunakan dua bot nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut pada kedudukan 65 batu nautika Utara Tanjung Sirik di Sarikei, kelmarin.

Taktik itu bagaimanapun dapat dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

(Maritim Malaysia) Sarawak yang menjalankan rondaan jam 9 malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Sarawak, Kepten Maritim Robert Teh Geok Chuan, berkata dalam serbuan itu, 20 lelaki Vietnam berusia 16 hingga 50 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua bot Vietnam itu menggunakan nombor pendaftaran palsu milik nelayan tempatan bagi melakukan aktiviti haram tanpa khuatir dikesan pihak berkuasa.

“Taktik menggunakan nombor pendaftaran palsu sering dilakukan nelayan Vietnam untuk memudahkan mereka menangkap ikan di perairan negara.

“Tindakan itu sekali gus mengelirukan nelayan yang beranggapan bot berkenaan adalah milik rakyat tempatan yang mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Kuching, di sini, hari ini.

Robert berkata, nilai rampasan dianggarkan bernilai RM6.5 juta termasuk 10,000 kilogram hasil tangkapan pelbagai spesies ikan.

Katanya, bot nelayan asing itu dipercayai sudah menangkap ikan antara dua hingga tiga hari sebelum ditahan Maritim Malaysia.

“Maritim Malaysia akan terus menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan hasil laut negara tidak terus dicuri nelayan asing.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan semua nelayan asing direman untuk siasatan lanjut,” katanya – berita harian