KEMAMAN: Seramai 12 nelayan Vietnam yang mengendalikan dua buah bot nelayan ditahan ketika mengaut hasil laut negara di kawasan 105 batu nautika dari Kuala Kuala Terengganu, petang semalam.

Dua bot nelayan asing terbabit turut dirampas dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Daerah Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Lo berkata, kedua -dua bot berkenaan dikesan oleh pesawatnya.

Beliau berkata sebaik memaklumkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Wilayah Maritim Timur, Maritim Malaysia mengarahkan kapal ronda yang berada berhampiran segera ke lokasi pencerobohan itu.

Kebetulan kapal ronda Maritim Malaysia sedang melakukan Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sebelum bergegas ke sana.

Maritim Malaysia menahan kedua-dua bot asing itu sekitar jam 6.23 petang dan 7.06 petang dan siasatan lanjut mendapati kru kedua-dua bot itu gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Katanya, sebanyak 60 kilogram sotong kering serta 2,000 liter diesel dirampas.

“Semua hasil tangkapan dan diesel dirampas and kesemua 12 nelayan warga Vietnam termasuk dua tekong itu berusia 18 hingga 47 tahun ditahan dan dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman,”

katanya.

Simon berkata nelayan terbabit akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 – berita harian