BATU GAJAH: Seorang nenek bersama-sama seorang anak perempuan dan dua cucu lelaki diberkas selepas dipercayai mencuri barangan kira-kira RM900 dari sebuah pasaraya di Pusing, dekat sini, Jumaat petang.

Antara barangan yang dicuri dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu ialah pelbagai jenis susu bayi, milo, nestum, minyak masak, racun serangga dan pakaian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, nenek tersebut berumur 60 tahun, anaknya 38 tahun manakala cucunya berumur 17 dan
19 tahun.

Menurut beliau, ketika kejadian, penyelia yang bertugas di pasaraya itu mendapati keluarga berkenaan masuk ke ruangan barangan keperluan dapur dan mengambil beberapa jenis barang.

“Selepas itu pengadu mendapati mereka terus keluar daripada pasaraya tanpa membuat bayaran di kaunter dan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna putih melalui Jalan Pusing ke Jalan Lahat,” katanya kepada media pada Sabtu.

Pengadu kemudiannya membuat pemeriksaan di ruangan keperluan dapur dapati beberapa kotak susu, susu tin, minyak masak dan spray ubat nyamuk telah dicuri.

“Pengadu terus menghubungi polis meminta bantuan dari Balai Polis Pusing dan memaklumkan kejadian tersebut,” ujarnya.

Ahmad Adnan berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan anggota Balai Polis Pusing telah berjaya mengesan kereta Proton Saga warna putih yang dinaiki oleh kesemua suspek di Stesen Minyak Petron Pusing.

Nenek tersebut mempunyai rekod tiga kes manakala anaknya dua kes, kesemuanya di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala dua cucunya didapati tiada rekod kes lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.