PETALING JAYA: Netflix sedang menyiasat dakwaan sejumlah akaun digodam sindiket yang menjual “username” dan kata lalu pada harga jauh lebih murah daripada yuran langganan bulanannya.

“Kami tahu insiden ini dan sedang menyiasatnya,” kata jurucakapnya susulan pemeriksaan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) yang mendedahkan sejumlah akaun Netflix terdedah kepada penggodaman.

Presiden MCCA, Siraj Jalil dilaporkan berkata, pengguna haram itu mungkin membeli “username” dan kata laluan melalui sindiket yang beroperasi di media sosial.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu bagaimana butiran itu boleh dicuri kerana ia adalah mustahil dengan kemajuan teknologi dalam melindungi maklumat berkenaan, walaupun bagi penggodam berpengalaman.

Netflix yang diperkenalkan di Malaysia pada awal 2016, menawarkan 3 pakej bulanan berharga RM33 hingga RM51, bergantung kepada pilihan kualiti video dan bilangan peranti tontonan.

Seorang penjual memberitahu “akaun haram Netflix” mempunyai 3 pakej, iaitu RM10, RM18 atau RM30.

Ia tidak memerlukan kontrak atau kad kredit, dan tidak akan diperbaharui secara automatik setiap bulan.

Ia memerlukan bayaran tambahan untuk memastikan “langganan” berterusan, walaupun jika kata laluan akaun yang digodam itu diubah. Jika ia berlaku, log masuk baru akan diberikan.

Jurucakap Netflix menggesa pengguna yang mengesyaki akaun mereka digunakan pihak lain tanpa kebenaran untuk memeriksa tanda aktiviti tidak dibenarkan seperti aktiviti tontonan terkini atau aktiviti penstriman peranti.

“Jika anda nampak aktiviti penstriman tidak dijangka dalam akaun Netflix anda dan tiada peranti anda yang dicuri, kami mencadangkan kata laluan Netflix ditukar untuk memastikan tiada orang boleh mengakses akaun anda tanpa kebenaran.

“Anda juga boleh keluar daripada semua peranti yang disambung kepada akaun anda untuk memutuskan sambungan mana-mana peranti yang tidak dibenarkan.”

Katanya, pengguna juga boleh menghubungi Netflix melalui aplikasinya, mana-mana telefon, “live chat” atau halaman bantuan di laman web Netflix.

Jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut mengakui beberapa aduan diterima berhubung perkara itu.

-FMT