Oleh: Shafiq Noordin

 IPOH: Netizen di Perak merupakan antara pengguna media baru yang berhemah di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudyaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

 Beliau berkata, ia berdasarkan statisik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menunjukkan hanya 44 aduan telah diterima berkaitan salah laku netizen di negeri ini dari Januari hingga Oktober tahun ini.

 “Malah angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan 59 aduan.

 “Ini sekaligus menunjukkan pengguna-pengguna media baru di negeri ini merupakan antara yang berhemah di dalam negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merasmikan Seminar Perundangan Mengenai Penyalahgunaan Media Sosial dan Impak Kepada Negara di sini pada Khamis.

 Tambah Nolee, kejayaan mewujudkan pengguna media baru yang berhemah di negeri ini adalah hasil daripada inisiatif kerajaan negeri menganjurkan kempen kesedaran di kalangan rakyat, khususnya melalui program Permukiman Menteri Besar di seluruh Perak.

 Bagi statisik kebangsaan pula, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, aduan salah laku netizen bagi semua bentuk media baru meningkat 21 peratus setakat Oktober 2017 berbanding tahun lalu.

 Katanya, setakat ini, pihak SKMM menerima 6,275 aduan berbanding 4,919 pada tahun 2016.

 “Kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan kandungan di platform Facebook, Whatsapp dan Twitter dengan hampir 70 peratus daripadanya adalah dari Facebook.

 “Kita menjangkakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ia akan meningkat lagi berdasarkan trend yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

 Dalam pada itu, Zulkarnain memberitahu, SKMM turut menyekat 2,765 laman sesawang atas pelbagai kesalahan.

 “Ia juga menunjukkan peningkatan kira-kira 41 peratus berbanding tahun lalu dan sekatan ini dibuat kerana laman-laman berkenaan didapati mempunyai kandungan bersifat lucah, palsu, ancaman dan jelek,” ujar beliau.