KUALA LUMPUR – Ramai netizen memohon ampun perkenan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali aktif dalam laman sosial Twitter.

Rata-rata mereka kecewa apabila baginda telah mengambil keputusan menutup akaun Twitter Azizah Iskandar@cheminahsayang kelmarin selepas ciapannya menerima komen negatif dari beberapa netizen.

Seorang netizen, Khairul Hafidz menerusi ciapannya semalam, menyatakan rasa sedih dengan berita Raja Permaisuri Agong telah menutup akaun Twitter baginda.

“Apakah kerana Permaisuri Agong berduka dengan reaksi netizen yang kurang sopan? Kami mahu Permaisuri Agong kembali ke Twitter. Bring back all the positivity you showed to us all this while,” ciap beliau.

Difahamkan, baginda menutup akaun Twitternya berikutan komen negatif dari seorang pemilik akaun Yok@frdsasrf yang dikatakan mengeluarkan kenyataan kurang sopan pada ruangan komen akaun baginda.

Berikutan itu, ramai netizen yang aktif dalam akaun Twitter baginda marah dan mengutuk Yok@frdsasrf kerana disebabkan komen negatifnya, rakyat terputus komunikasi dengan raja kesayangan.

Netizen Sharifah Sharina menyatakan, beliau suka membaca tweet Tunku Permaisuri Agong dan berharap baginda kembali aktif dengan ciapan yang disukai puluhan ribu pengikut Twitternya.

Lagi netizen yang meninggalkan komen dalam akaun Twitter Khairul Hafidz mengecam Yok@frdsasrf dan mahu polis mengambil tindakan tegas ke atas lelaki terbabit.

Menurut Haruto@BlankyHuman, beliau tidak mahu mendengar Yok@frdsasrf meminta maaf, kerana perbuatannya tidak padan dengan sekadar berbuat demikian.

“Bro (Yok@frdsasrf), lepas ni jangan minta maaf. (Kami) tak nak maaf kau tu. Tak padan dengan sekadar minta maaf je. Takyah minta maaf bro. Melayu macam kau la yang menjatuhkan institusi raja kita sendiri. Elok buang negara je, macam sultan2 dulu buat,” ciapnya dengan nada marah.

Netizen Halide8970@hxlide897 pula berkata, mungkin salah satu sebab Raja Permaisuri Agong berbuat demikian kerana netizen seperti Yok@frdsasrf mula kutuk mengutuk sehingga laman Twitter baginda menjadi negatif.

“Saya harap apabila keadaan sudah tenang, Permaisuri Agong akan kembali mewarnai timeline balik dengan

positif.

Ajim@syamsulazim pula meminta rakan netizen sepakat ‘menyerang’ akaun Twitter Yok@frdsasrf kerana tidak tahu menghormati Raja Permaisuri Agong.

Sedangkan, ulasnya, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah hendak rapatkan diri dengan netizen di media sosial sehinggakan beliau dan rakan netizen yang lain suka tengok gaya hidup kerabat diraja itu.

“Gaya hidup mereka yang sempoi dan mesra rakyat tetapi Yok@frdsasrf pula jadi punca kerenggangan rakyat dengan raja. Pergi serang laman Twitter dia pula,” katanya dengan nada kecewa dan sedih.

Nafirinetapa87 berkata, manusia biadab seperti Yok@frdsasrf dan rakan-rakannya telah melakukan perbuatan yang sukar dimaafkan.

Katanya, daripada rakyat boleh bermesra dengan Raja Permaisuri Agong, boleh balas komen, apa semua sudah tidak boleh dan tidak tahu apa-apa pekembangan lagi pasal gaya hidup baginda.

“Dasar orang tak ada adab,” tegasnya.