KUALA LUMPUR: Dua kad undangan ke majlis perkahwinan tertera nama anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan tunangnya yang tular di media sosial sejak malam tadi, terus menarik simpati netizen.

Walaupun belum ditentukan kesahihannya, rata-rata netizen melahirkan kesedihan terhadap nasib menimpa Allahyarham Muhammad Adib selain turut mendoakan supaya tunang arwah, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, tabah menerima berita sedih itu.

Umum mengetahui majlis perkahwinan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu, sepatutnya diadakan lima hari lagi.

Berdasarkan kad kahwin itu dinyatakan majlis perkahwinan Allahyarham dijadual diadakan di rumah keluarga kedua-dua pihak di Alor Setar, Kedah, masing-masing pada Sabtu dan Ahad.

Namun Muhammad Adib meninggal dunia malam tadi, sebelum sempat dirai sebagai pengantin baharu.

Pelayar Facebook, Erni Safura berkata, dia bersimpati dengan pemergian arwah dan berharap keluarga kedua-dua pihak tabah.

“Sedih tengok kad kahwin ni. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Arwah Adib sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada hari Sabtu ni, namun Allah telah menjemputnya.

“Moga keluarga arwah Adib akan tabah dan buat tunangnya jua, moga kuat hadapi dugaan yang sungguh berat ni… Aamiin… #KeadilanBuatAdib,” katanya.

Azizul Hj Tandek turut berkongsi kesedihan sama dan mendoakan roh arwah Muhammad Adib dicucuri rahmat.

“Sedihnya… kad jemputan majlis perkahwinan Adib… tambah sebak melihat ni. Minggu ni arwah kahwin.. Ya Allah tempatkan dia di Syurga Mu Ya Rabb… Aamiin,” katanya.

Seorang lagi netizen, Aimuni Ummi AbrarHafeez, berkata, kematian pegawai bomba itu pastinya diratapi rakyat Malaysia dan berharap mendapat keadilan sewajarnya.

Membahasakan dirinya sebagai ‘Cikmun’ dia yakin kad perkahwinan Adib dan Najihah sudah pun diedarkan.

“Majlis yang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini berakhir dengan kedukaan dan kelukaan. Mungkin 21 Disember ini adalah tarikh keramat mereka bergelar suami isteri. Namun perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

“Satu Malaysia bersedih dengan pemergian Adib sebagai Wira Negara. Benar, ajal, maut, jodoh, pertemuan adalah hak Allah. Tiada siapa boleh menidakkan hakikat itu walau sesaat pun.

“Namun keadilan di pihak Adib perlu dituntut. Kematian yang berpunca dari kerakusan tangan-tangan manusia yang zalim. Dia bukan perusuh. Tetapi dia penyelamat. Yang akhirnya terkorban dan menjadi korban,” katanya.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara selepas 20 hari bertarung nyawa akibat parah di paru-paru akibat dipukul perusuh dalam tragedi rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu – berita harian