IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming gagal menunjukkan teladan yang baik walaupun sering menyebut beliau adalah seorang ahli Dewan paling senior.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengakui bahawa wakil rakyat DAP itu memang ahli Dewan Perak paling lama, di samping Datuk Saarani Mohamad (BN – Kota Tampan).

Bagaimanapun, kata beliau, setelah 18 tahun menjadi ahli Dewan, Nga sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan tidak menggunakan ayat-ayat yang tidak baik dalam Dewan.

“Beliau merupakan seorang yang berpengalaman, bukan orang baru, diganggu semasa bahas ini biasa, meminta celahan, biasa tapi apabila diganggu dan melemparkan perkataan-perkataan seperti monyet dan sebagainya, itu tidak menggambarkan kematangan beliau dalam politik selama 18 tahun,” katanya dalam sidang media sempena Sidang DUN pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nga mengeluarkan perkataan monyet kepada ADUN Barisan Nasional (BN) yang cuba mencelah ketika sedang membahaskan Bajet 2017.

Tidak cukup dengan perkataan monyet, Nga juga dengan nada keras menyuruh Datuk Dr Mah Hang Soon (BN – Chenderiang) duduk apabila cuba mencelah, sehingga Speaker, S. Thangeswary menegurnya supaya menggunakan perkataan yang lebih sopan.

Dr Zambry berkata, selepas 18 tahun, sepatutnya Pengerusi DAP Perak itu menjadi semakin matang di dalam dewan.

“Apakah dalam masa 18 tahun masih tidak boleh berubah? … dari segi perilaku, kelaku, dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik, saya harapkan dia jadi contoh yang baik kepada yang lain-lain.

“Sepatutnya 18 tahun…bukan 8 tahun…saya baru 12 tahun, dia sudah begitu lama, sepatutnya tunjuklah perangai elok sikit.

“Saya ingin mengingatkan dia, sebagai seorang ahli dewan yang paling senior, dia sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik,” kata Dr Zambry.