IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini menyatakan pihaknya mempunyai bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu yang dibawa masuk ke dalam negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seperti yang didakwa sebelum ini.

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) Perak dituntut mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Pakatan Harapan ekoran kenyataan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan semua bukti tersebut kepada pihak polis jika BN negeri tidak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak pembangkang dalam tempoh 24 jam.

“Saarani baru-baru ini mengatakan kami (pembangkang) sengaja cuba nak meraih simpati dengan isu wujudnya pengundi hantu ini.

“Sekarang kami mempunyai lebih 160,000 nama yang dicetak di atas kertas sebagai bukti mereka ini pengundi hantu jadi pemimpin BN harus mohon maaf atau kami serahkan bukti ini kepada polis,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini pada Rabu.

Namun, Kor Ming memberitahu, bukti tersebut hanya akan diserahkan pihak polis dan tiada bantahan sama ada secara terus atau rasmi akan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pihaknya tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk berbuat demikian.

“Sekiranya kita buat setiap satu bantahan, untuk setiap penama (pengundi hantu) itu kena bayar RM10. Kalau bantahan itu tidak benar, kita akan didenda RM100 pula untuk setiap bantahan dibuat, jadi itu sebabnya kita terpaksa buat laporan polis.

“Saya akan cuba hantar juga bukti-bukti ini juga kepada Pengerusi SPR Perak, saya mahu SPR padamkan pengundi hantu ini. Ini permintaan munasabah,” jelasnya.

Dalam sidang media sama, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula memberitahu, sebelum ini pihaknya telah pun membuat beberapa bantahan terhadap SPR mengenai beberapa nama yang didakwa pengundi hantu.

Namun beliau mengakui, pihak SPR telah mengesahkan bukan semua nama yang dihantar adalah pengundi hantu.

Ahad lalu, Saarani memberitahu dakwaan yang dibuat oleh Kor Ming melalui akaun Twitternya mengenai kewujudan pengundi hantu di Perak merupakan strategi politik jahat parti pembangkang dengan niat mengelirukan rakyat negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri turut mempersoalkan kefahaman Kor Ming berkaitan terma pengundi hantu digunakannya untuk menfitnah BN melalui tweetnya, baru-baru ini.

“Saya rasa dia tak faham maksud sebenar pengundi hantu ini, dia mungkin keliru dengan pengundi yang berpindah alamat dengan pengundi yang memang betul-betul tidak wujud,” kata Saarani.