IPOH: Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Saarani Mohamad hari ini mencabar pihak pembangkang untuk menunjukkan kesahihan senarai 165,000 daftar pemilih yang didakwa bukti wujudnya pengundi hantu di Perak.

Sehubungan itu, katanya, tindakan pembangkang yang diketuai oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming untuk melakukan laporan rasmi kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amat dialu-alukan oleh Barisan Nasional.

Tegasnya, tindakan Kor Ming itu jelas menampakkan kelemahan perancangan strategi pihak pembangkang yang secara terang-terangan menyedari kekalahan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Daftar pengundi yang ada pada kita sekarang yang diperkatakan Nga Kor Ming telah digazetkan dan sudah berakhir pada 30 Jun 2017, jadi adalah tidak adil jika Pakatan Harapan (PH) membuat aduan atau membuat bantahan setelah dia semak sekarang.

“Dia mencabar saya, jika SPR tidak mahu memutihkan senarai 165,000 itu, maka mereka hendak membuat laporan polis dan SPRM. Saya nak sahut cabaran itu, silakan,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat UMNO Negeri pada Jumaat.

Tegas Saarani, Barisan Nasional (BN) tidak pernah masuk campur mahupun terlibat dalam proses menyenaraikan pengundi di mana-mana kawasan malah semuanya dikendalikan oleh SPR.

Jelas beliau, SPR akan mempamerkan nama pemilih baru bagi setiap kawasans setiap tiga bulan sekali untuk membolehkan orang ramai termasuk parti politik meneliti dan membuat bantahan sekiranya diperlukan.

“Kor Ming dan PH sepatutnya mengambil peluang yang terbuka pada setiap tiga bulan daripada PRU 13 sehingga sekarang, tidak kurang daripada 16 kali pameran dilakukan.

“Kalau mereka buat bantahan, SPR akan buat siasatan berdasarkan bantahan mereka dan jika benar nama-nama itu akan dikeluarkan oleh SPR tetapi jika tidak berasas maka mereka akan mengekalkan nama itu,” katanya lagi.

Saarani berkata, BN juga tidak akan sesekali memohon maaf kepada sesiapa seperti yang dikehendaki oleh pihak pembangkang kerana tiada sebarang kesalahan yang dilakukan dalam pengurusan daftar pengundi yang diurus tadbir oleh SPR.

Malah, Exco Kerajaan Negeri Perak itu mencabar Kor Ming untuk membuktikan kepada umum secara satu persatu daripada 165,000 nama yang kononnya pengundi hantu itu, seperti yang didakwa beliau sendiri.