CHEMOR: Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming untuk bertanding di Parlimen Teluk Intan antara lain mahu dianggap sebagai ‘the giant killer’.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, misi bekas Ahli Parlimen Taiping itu adalah untuk menewaskan seorang yang bergelar menteri (Datuk Seri Mah Siew Keong) dan mahu menganggap dirinya sebagai ‘the giant killer’ yang menewaskan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, rakyat boleh membuat penilaian sama ada Nga telah memberi khidmat semasa menjadi Ahli Parlimen Taiping.

“Saya tidak mahu mengatakan dia angkuh, sombong dan sebagainya tetapi biasanya kalau orang daripada luar nak datang, dia boleh tinggalkan kawasannya, tentunya orang boleh faham tentang sikap orang yang bergelar seperti dia ni,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran hak milik dan surat tawaran kepada lebih 350 peserta Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) Ulu Chemor (dan surat tawaran peserta RPB Ulu Samak di Dewan Komuniti Chemor di sini, hari ini.

Baru-baru ini DAP mengumumkan Nga akan bertanding di Parlimen Teluk Intan yang hampir pasti menentang Mah yang juga Presiden Gerakan.

Mengulas mengenai pengumuman ‘Raja Bomoh’, Ibrahim Mat Zin, 68, untuk bertanding di Pangkor, Dr Zambry berkata, ia terpulang kepadanya.

“Terpulang kepada dia, saya nak sebut apa-apapun nanti orang anggap terlalu angkuh, itu hak masing-masinglah.

“Kita nak kata apa, sebab dia nak bertanding. Kita nak kata jangan, nanti dia kata itu hak dia, ini kan berada dalam negara yang mengamalkan demokrasi, takkan kita nak kata jangan, bukan hanya dia, sesiapapun,” ujarnya.

Mengenai pengumuman calon-calon Barisan Nasional di negeri Perak, Dr Zambry berkata, ia akan dilakukan apabila menerima arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti.

BERITA BERKENAAN : PPNP Cungkil Potensi Anak Perak Dalam Bidang Pertanian

1/5