IPOH : Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menafikan membuat hasutan di media sosial supaya kaum Cina membuat bantahan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu papan tanda yang mempunyai tulisan Cina.

Menurutnya, hantaran pada laman Facebook dalam tulisan Cina menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ bukan daripada beliau atau daripada DAP.

“Setelah carian atas talian dilakukan, didapati hantaran itu sebenarnya adalah dari satu laman bernama ‘Ju Xi Wan Yak’ dalam bahasa Mandarin yang tiada apa-apa kaitan dengan saya mahupun DAP.

“Posting FB yang dirujuk oleh Najib hari ini merupakan page yang menyamar diri mengguna nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ tetapi ia bukan dari saya ataupun DAP,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebook beliau meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana menghasut warga Cina untuk membenci Sultan Selangor.

Ini susulan satu hantaran di laman Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dalam tulisan Cina berhubung isu penggunaan papan tanda jalan dwi-bahasa di Selangor.

Terjemahan tulisan itu dikatakan bermaksud ‘tanda jalan dwi-bahasa sesungguhnya telah menarik perhatian ketidakpuasan hati sekurang-kurangnya oleh seorang Melayu. Orang Melayu inilah yang mengarahkan kerajaan untuk menurunkan tanda jalan dwi-bahasa. Jika mana-mana orang Cina yang tidak berpuas hati, silakan bertentangan muka dengan orang Melayu ini bagi menunjukkan bantahan. Orang Cina marahkan kerajaan tak ada maknanya kerana orang Melayu ini tidak tahu yang ada tidak berpuas hati’

Pada 19 November lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sahaja.

– UTUSAN ONLINE