MANONG: Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham cuba mengambil kesempatan politik apabila meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan isu syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Perak Corp Berhad yang digantung daripada menjalankan sebarang urusniaga di Bursa Saham Malaysia.

Dr Zambry berkata, sebagai peguam yang berpengalaman, Ngeh sepatutnya tahu peraturan yang meilbatkan syarikat yang disenaraikan di bursa saham.

“Dia tahu saya tidak boleh jawab sebab itu berkaitan dengan Suruhanjaya Sekuriti tetapi dia ambil kesempatan politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Amanjaya Manong di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ngeh kononnya penggantungan itu mengejutkan kerana kewujudan syarikat berkenaan adalah untuk membantu rakyat di negeri ini, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Dr Zambry beberapa kali mengulangi, walaupun geram dengan kenyataan Ngeh itu tetapi beliau tidak dapat memberi sebarang ulasan.

Tambahan pula, kata beliau, syarikat induk, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sendiri telah membuat kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.