Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Ketua Whip Pembangkang, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menempelak tindakan portal berita yang didakwa sengaja mengaibkan tindakan beliau yang menimbulkan kekecohan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Selasa.

ADUN Sitiawan itu juga mempersoalkan tindakan portal berita yang kononnya meletakkan gambar wajahnya yang kelihatan bengis dan marah ketika dalam persidangan tersebut tanpa sebarang usul periksa.

Katanya,tindakan portal berita mempermainkan kelakuannya itu dilihat seolah-olah berniat untuk menuduh beliau sebagai punca kekecohan pada awal persidangan.

“Pagi tadi, saya rasa Menteri Besar tidak memegang peraturan tetap kerana semua ADUN perlu duduk dan dengar, itu satu peraturan yang biasa digunakan di Parlimen dan DUN.

“Bila Pangkor (Dr Zambry) tidak ikut peraturan, dia pula nak ajar saya beradab, dan ada agensi berita yang menunjukkan saya marah, tetapi tidak tahu kenapa saya menjadi begitu?” katanya.

Sementara itu, Koo Ham turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan kredibiliti dan sikap professional Speaker Dewan Negeri, S Thangeswary yang didakwa gagal mengawal persidangan dewan pada kali ini.

“Saya sangat kecewa. Ia umpamanya semua yang saya cadangkan tidak didengari langsung. Ini memang memalukan kerana tindakan Speaker amat menghina dewan negeri, dewan perundangan tertinggi di Perak.

“Dalam sistem demokrasi, menteri dan wakil rakyat serta Ahli DUN adalah rendah daripada rakyat, kerana tugas mereka adalah membawa masalah rakyat dan itulah yang kami lakukan, membawa soalan daripada rakyat.

“Bagi saya, speaker ini adalah speaker yang paling teruk dan ada baiknya beliau memperbaiki diri sendiri, atau tak baik letak jawatan,” katanya kepada pemberita di sini.

Koo Ham berkata, sebagai seorang peguam, Thangeswary sebenarnya lebih memahami dan arif mengenai selok-belok badan perundangan namun ia tidak ditonjolkan dalam peranannya pada sidang kali ini.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa tempoh singkat persidangan Dewan Undangan Negeri Perak adalah cara kerajaan negeri melarikan diri daripada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

Koo Ham juga sempat menyatakan bahawa, tindakan itu mencerminkan sikap Barisan Nasional (BN) yang tidak menghormati perintah tetap oleh Speaker, S Thangeswary.