IPOH – Kerajaan negeri bakal mengembalikan semula dua kuota kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu.

Exco Kerajaan Negeri, Yong Choo Kiong berkata, pengembalian dua kuota berkenaan dibuat hasil kajian yang mendapati dua kuota berkenaan memiliki kepentingan berhubung pelantikan ahli majlis PBT.

Malah menurut Choo Kiong, kesemua 312 ahli majlis bagi 15 PBT dijangka mengangkat sumpah jawatan minggu ini.

“Sebelum ini, kita gugurkan kuota berkenaan kerana bimbang ia (kuota) akan disalah gunakan pihak tertentu dan malam ini (semalam), setiap daerah, wakil parti komponen Pakatan Harapan dijadualkan bermesyuarat untuk kita

tentukan siapa dua wakil NGO yang layak untuk mengisi dua kekosongan itu.

“Yang dipilih itu tidak ada latar belakang mana-mana parti politik. Memang mereka adalah daripada NGO dan persatuan tertentu,” katanya pada sidang media, semalam.

Difahamkan, nisbah ahli majlis dibuat mengikut jumlah kerusi dimenangi komponen Harapan pada PRU14 lalu.

Sementara itu, Choo Kiong berkata, pengembalian dua kuota berkenaan bukan akibat desakan mana-mana pihak.

Katanya, dua kuota berkenaan dikembalikan berikutan banyak NGO yang telah berkhidmat sekian lama di kawasan tertentu dan kini tiba masanya untuk mereka dilantik sebagai ahli majlis PBT.

“Ada banyak NGO yang berkhidmat untuk rakyat selamat ini. Oleh itu, mereka ini kita rasa layak untuk jadi ahli majlis PBT.

“Untuk ketua kampung pula, kita jangka kita akan sempurnakan lantikan mereka pada bulan depan,” katanya – sinar