IPOH: Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat isu ditularkan dalam laman Facebook berkenaan Jalur Gemilang yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik di beberapa premis seluruh negara.

Jurucakap kumpulan itu, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, perbuatan itu jelas melanggar etika sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dalam negara berbilang kaum.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi (Sahabat) berkata, Jalur Gemilang sepatutnya dipasang mengikut aturan dan kedudukan yang betul.

“Tetapi mereka sengaja menterbalikkan bendera itu dan meletakkan warna kuning yang melambangkan raja dan agama Islam di bawah.

“Apabila bendera itu diterbalikkan, itu menunjukkan kita meletakkan Yang di-Pertuan Agong di bawah.

Adakah ini tujuan sengaja mereka memberi isyarat sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia ataupun mereka ingin protes dan sebagainya?,” katanya ketika ditemui di luar Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Antara NGO lain yang turut hadir memberikan sokongan ialah Jemaah Manjoi, Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (MAAP) di samping turut dsertai Pemuda UMNO Tambun, Ipoh Barat dan Gopeng.

Di Ipoh, perbuatan memasang Jalur Gemilang secara terbalik dikatakan dipasang di sebuah kedai alat ganti kenderaan di Bercham.

Syamsul Baharin Putra berkata, beliau secara peribadi berpandangan perbuatan tersebut seolah-olah mencabar Yang di-Pertuan Agong, justeru pihak polis perlu bertindak tegas kerana ia telah berlarutan sebelum pilihan raya umum lalu.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memilih tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

“Jadi, kita mahu bersihkan anasir-anasir yang kotor ini daripada pemikiran rakyat Malaysia.

“Sekarang ini sudah ibarat menjadi satu trend apabila ‘kerosakan’ telah dilakukan, lepas itu baru minta maaf, boleh ke macam itu? Perbuatan ini menimbulkan rasa kurang senang terhadap semua kaum,” tegasnya.

Katanya, lebih banyak NGO di seluruh negara akan mengikuti jejas NGO di Perak membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.