Oleh:Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa agar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dikaji semula untuk membolehkan kesemua tahanan mempunyai peluang untuk dibicarakan di mahkamah.
Pengerusi Tamilar Kular Malaysia, David Marshal berkata buat masa ini SOSMA yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 2012 itu menggariskan bahawa kesemua tahanan tidak dibenarkan diikat jamin di bahawa Seksyen 13 akta itu.
Katanya, perkara ini amat membebankan ahli keluarga khususnya apabila tiada peluang bagi kesemua tahanan itu untuk mendapat khidmat guaman seperti suspek kes lain yang didakwa di bawah Kanun Keseksaan, contohnya.
Menurut David, pihaknya menggesa agar PDRM dapat membantu untuk melihat semula beberapa bahagian yang melibatkan jenayah terancang sedangkan kebanyakan tahanan SOSMA adalah berkaitan dengan gangsterisma dan bukannya pengganas.
“Pada pandangan saya, pihak polis telah menggunakan akta SOSMA ini semata-mata untuk mengurangkan, atau menunjukkan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka berada di tahap tertinggi, seperti apa yang diuar-uarkan oleh kerajaan sebelum bahawa kes jenayah telah dikurangkan.
“Ini sebenarnya terjadi, kerana mereka telah tahan ramai dan masukkan mereka dalam (penjara), memang tiada kes akan berlaku. Jadi, kalau inilah cara-cara untuk menyelesaikan KPI, ini tidak adil.
“Apa yang kita minta, bukanlah untuk kita mansuhkan SOSMA secara keseluruhannya, tetapi kita meminta satu pertimbangan semula…mungkin melibatkan hanya ke atas beberapa seksyen. Sebab SOSMA itu satu keperluan untuk keamanan Malaysia, tetapi jangan kaitkan pengganas dengan gangsterisme,”katanya kepada pemberita hari ini.
David juga berkata, bahawa pihak polis sewajarnya membuat pertimbangan untuk memasukkan akta-akta melibatkan kegiatan gangsterisme di bawah Kanun Keseksaan agar dakwaan boleh dilakukan dan bukannya ditahan tanpa berpenghujung di dalam penjara.
Sementara itu,S Jeyamala, 32, yang kini sarat mengandung tujuh bulan, memohon agar suaminya yang ditahan dibawah SOSMA dapat dibebaskan untuk beliau kembali kepada keluarga lebih-lebih lagi untuk melihat saat-saat anakĀ  pertama mereka lahir ke dunia.
Katanya, mereka telah berkahwin selama tujuh tahun dan baru ini menikmati seorang cahaya mata namun penangkapan suaminya merupakan titik hitam bagi dirinya.
“Cukup seksa, untuk seorang wanita berseorangan ketika suaminya tidak ada. Itulah yang dialami saya sekarang. Mereka kata dia akan dibebaskan tapi akhirnya tidak berlaku. Saya terpaksa ambil peguam,”katanya lagi.
Jeyamalar berkata beliau tidak akan melupakan pemandangan di mana suaminya digari dan dikawal dengan ketat oleh polis seperti seorang pengganas.
“Mereka kata, tahanan SOSMA tidak akan dikeluarkan tetapi saya akan berjuang untuk dapatkan semula suami saya, malah buat masa ini mereka masih belum menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan penangkapannya,”katanya lagi.