IPOH: Sebanyak 19 pertubuhan bukan kerajaan, pencinta alam sekitar dan komuniti masyarakat Orang Asli di Perak meminta kerajaan negeri menarik semula projek ladang hutan di kawasan hutan simpan di Lembah Kinta.

Antara pertubuhan itu termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM) Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Jawatankuasa Bertindak Orang Asli.

Mereka mendakwa, projek di Hutan Simpan Bukit Kinta dan Hutan Simpan Kledang Saiong di samping pembangunan di Bukit Kledang, telah menyebabkan pemusnahan hutan di dalam kawasan yang telah diisytiharkan Lembah Kinta Geo Park.

Mereka turut mempersoalkan bagaimana kerajaan membuat takrifan mengenai hutan miskin sehingga kerajaan menghalalkan projek ladang hutan.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman mendakwa adalah mustah hutan miskin boleh mencecah sehingga 100 hektar.

“Bagaimana pihak berkuasa negeri tidak sedar kemudian tiba-tiba nak menghalalkan kawasan itu jadi ladang hutan.

“Adalah tidak logik kalau hutan miskin sehingga 200 atau 400 hektar, paling kuatpun 100 hektar, itu pun dah begitu besar,” katanya.

Beliau ditemui ketika bersama-sama 100 pemimpin komuniti Orang Asli menyerahkan memorandum bantahan projek berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal di Ipoh, pada Selasa.

Memorandum diterim pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Memorandum itu turut meminta agar diadakan perbincangan dengan komuniti Orang Asli supaya ia lebih telus dan adil.