KUALA LUMPUR : Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menukar Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dengan seseorang yang lebih positif membela rakyat berbanding diri sendiri.

Menurut pengerusinya, Dolah Tekoi, Ahmad Faizal bersifat anti-Orang Asli dan lebih suka berkonfrontasi berbanding menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Beliau hanya lebih banyak bersifat anti-Orang Asli. Ini disebabkan beliau langsung tidak mahu mendengar keluhan rakyat, jauh sekali untuk berunding bagi menyelesaikan suatu isu berbangkit tetapi lebih suka berkonfrantasi.

“Malah setiap hari beliau hanya keluarkan kenyataan yang tidak membina tetapi lebih kepada kontroversi terutama dalam isu tanah adat Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia dipercayai merujuk kenyataan Ahmad Faizal semalam bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak tidak memperuntukkan tanah adat untuk mana-mana kaum termasuk Orang Asli.

Dolah

Menurut Dolah, dia percaya kenyataan yang dibuat Ahmad Faizal bukanlah menunjukkan kelemahan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak, tetapi lebih kepada sifat peribadinya yang sombong.

“Namun, ia (pendirian Ahmad Faizal) tetap menggambarkan pendirian kerajaan negeri kerana dia seorang Menteri Besar,” katanya lagi.

Dolah yang juga aktivis Orang Asli turut menzahirkan kekecewaannya terhadap kepemimpinan Ahmad Faizal kerana ia meleset daripada jangkaan awalnya bahawa kedudukan Orang Asli akan menjadi lebih baik bawah pemerintahan PH.

“[…] Sekarang sudah jadi sebaliknya.

“Malah saya sangat meluat dengan janji yang dicanang semasa pilihan raya yang lalu yang kononnya mahu membela nasib Orang Asli,” tambahnya yang turut mendakwa keadaan yang berlaku pasti mengundang kebencian rakyat terutama pengundi Orang Asli terhadap PH.

Kenyataan Ahmad Faizal semalam dibidas banyak pihak berhubung kenyataannya itu.

Antaranya Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas yang menyatakan banyak kes mahkamah mengiktiraf hak tanah Orang Asli termasuk di Perak, iaitu kes melibatkan Orang Asli di Kampung Kuala Senta di Bidor, Perak pada tahun 2015.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah turut berpendapat PH perlu mendidik pemimpin kerajaan negeri mengenai pelaksanaan hak tanah adat Orang Asli.

Katanya, meskipun perkara itu ada dalam manifestonya sendiri, tetapi menteri besar setiap negeri memiliki pemahaman atau pendirian mereka sendiri yang tidak benar-benar mencerminkan komitmen yang dibuatnya berkenaan hak adat Orang Asli.

MALAYSIAKINI

Tiada istilah tanah adat di negeri Perak – MB