IPOH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan menjayakan kempen kibarkan jalur gemilang untuk meningkatkan semangat patriotisma dan kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, kerajaan semata-mata tidak mampu untuk bergerak sendiri tanpa melibatkan NGO.

“Saya mengharapkan NGO-NGO dapat memainkan peranan di lapangan untuk sama-sama berkempen kepada rakyat supaya mereka mengibarkan jalur gemilang, sama ada di premis perniagaan atau rumah dan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar pada sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri Perak 2018 di Padang Tanjung Rambutan, dekat sini, hari ini.

Seramai 133 peserta konvoi mengambil bahagian yang melibatkan 56 kenderaan, termasuk motorikal berkuasa tinggi.

Selepas hari ke-14, konvoi telah mengharungi perjalanan kira-kira 2,40 kilometer dan singgah di lebih 100 buah pekan dan bandar yang menjadi tumpuan ramai.

Di dalam ucapannya, YB Hasnul berkata, saban tahun, kerajaan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk digunakan bagi program menyemai semangat patriotisma dan cinta kepada negara, serta menyambut bulan kebangsaan.

Menurut beliau, walaupun generasi hari ini tidak pernah mengangkat senjata menentang penjajah dan penakluk, tetapi mereka mesti menghargai dan jangan pernah lupa jasa serta pengorbanan nenek moyang pejuang kemerdekaan.

Justeru itu, beliau menyeru generasi muda untuk bergerak sederap, melangkah bersama-sama kepimpinan kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan negeri Perak dan Malaysia.

“Marilah kita berusaha dengan seikhlas hati untuk membalas pengorbanan nenek moyang kita dengan menyumbang melalui cara masing-masing untuk menjadikan negara ini kembali disegani di pentas dunia,” ujarnya.