Volunteer Malaysia atau yang dulu dikenali sebagai 1M4U memuji Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mengambil bekas banduan bekerja di pejabatnya.

Rizan Hassan, yang merupakan lembaga pemegang amanah NGO itu berkata, dia difahamkan salah seorang bekas banduan sudah mula bekerja sejak minggu lalu.

“Salah seorang bekas banduan sudah mula kerja minggu lalu, saya dimaklumkan dua lagi akan diambil bekerja dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Oktober lalu, Syed Saddiq berkata dia akan mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya sebagai sebahagian kempen Reben Kuning yang dilancarkan kementeriannya.

Projek Reben Kuning merupakan kempen mengembalikan kumpulan belia berisiko ke dalam hidup bermasyarakat di samping membina kehidupan baru melalui pekerjaan yang ditawarkan.

Langkah berkenaan dikatakan diambil bagi mengubah persepsi terhadap golongan yang pernah menjadi banduan.

Malaysiakini sudah menghubungi Syed Saddiq bagi mengesahkan maklumat yang diberikan Rizan.

Dalam kenyataan medianya, Rizan berkata inisiatif berkenaan penting kerana ia memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk menyusun semula kehidupan mereka, selain menyebarkan nilai kemaafan dalam kalangan masyarakat.

“Dengan memberikan kemaafan dan peluang kedua buat mereka, ini sedikit sebanyak akan mendorong mereka untuk menjadi yang terbaik dan lebih ke arah melakukan kebaikan,” katanya.

Rizan juga berkata bahawa bekas banduan, terutamanya dari kalangan remaja, sering dianggap sebagai pembuat masalah dan seterusnya dipinggitkan.

“Ini adalah pendekatan yang salah dan stigma seperti ini haruslah dihapuskan dari masyarakat kita,” katanya – Malaysia kini