IPOH: Niat baik kerajaan untuk memberi imej baik kepada beberapa pasar awam di dalam bandaraya Ipoh telah dihalang oleh pelbagai pihak, termasuk daripada peniaga dan pemimpin pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak tahun 2010, ekoran keprihatinan pelbagai pihak, termasuk Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi melihat keadaan pasar-pasar di Ipoh sama ada dibaikpulih atau dibina semula.

Menurut beliau, berdasarkan senarai awal, pasar-pasar yang terlibat ialah di Gunung Rapat, Kampung Simee, Jelapang, Pasir Pinji, Jalan Pasir Puteh dan Buntong.

“Ini antara yang kita rancang dengan peruntukan sebanyak RM33.8 juta dan kita mengadakan proses rundingan, saya sendiri turun dua kali di Pasar Gunung Rapat kerana matlamat kerajaan adalah untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

“Malangnya, yang menghalang kita nak bina itu ialah di depan tu (pemimpin pembangkang), kita niat baik, Pasar Gunung Rapat umpamanya, berapa kali kita mengadakan pertemuan, malah kita tanya apa konsep terbaik yang kita nak bina, akhirnya dengan adanya siri hendak demontrasi, mereka tak nak,” katanya dalam sidang media selepas Sidang DUN di sini pada Selasa.

Dr Zambry berkata, disebabkan tindakan peniaga berkenaan yang mungkin terpedaya dan yakin dengan dakyah pembangkang, peruntukan itu terpaksa ditarik balik.

Bagaimanapun, kata beliau, sebahagian daripada peruntukan itu dapat digunakan untuk membina pasar baru Tanjung Rambutan dengan peruntukan RM7 juta pada tahun 2014 di samping pasar ayam bersebelahan UTC Perak.

Mengenai kemungkinan untuk mengembalikan semula projek pasar yang telah ditarik balik, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan cuba untuk melaksanakannya.

“Selepas ini, kalau mereka dah menyesal ke, tahu tindakan mereka dulu salah dan kalau mereka datang nak berbincang, bolehlah kita bincang, tapi kita kena cari baliklah peruntukan, nak cari duit bukan senang,” ujarnya.