PARIT BUNTAR – Niat seorang warga emas melepaskan ‘hajat’ di kawasan parit berhampiran rumahnya di Taman Pekan Baru, di sini tidak kesampaian apabila maut setelah dipercayai terjatuh secara tiba-tiba, malam kelmarin.

Berikutan itu, mayat mangsa, Eng Te Lee,62, yang dikatakan terjatuh ketika hendak membuang air kecil, dijumpai orang awam dalam keadaan sudah meninggal dunia pada malam semalam.

Saksi kejadian hanya dikenali Ah Yen berkata, lebih kurang jam 9.30 malam, mayat mangsa ditemui orang awam yang berusaha mencari mangsa setelah dilaporkan tidak pulang ke rumah semalaman oleh keluarganya.

Menurutnya, kelibat mangsa difahamkan kali terakhir dilihat sewaktu menghadiri majlis jamuan makan malam perayaan  masyarakat Cina dipanggil Ee Lan Sen Hui di kawasan taman perumahan itu.

“Ada rakan mangsa memberitahu bahawa mangsa hendak pergi membuang air kecil sebentar sewaktu majlis berlangsung, namun selepas itu tidak kembali semula.

“Kami mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam parit dan kemudiannya mati lemas tanpa disedari orang ramai,”katanya sewaktu ditemui media di lokasi penemuan mayat mangsa di Taman Pekan Baru, di sini malam tadi.

Ah Yen berkata, kehilangan mangsa hanya disedari ahli keluarganya pagi semalam dan usaha mencari mangsa digerakkan termasuk dengan mendapatkan bantuan anggota Pertubuhan Keselamatan Sukarelawan Kerian(PKSK).

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di parit oleh orang awam.

“Akhirnya, usaha pencarian menemui hasil apabila seorang anggota PKSK menemui tubuh mangsa dalam keadaan terlentang di sebuah parit berhampiran Taman Pekan Baru malam tadi.

“Mangsa difahamkan tinggal seorang diri setelah isterinya warga Jepun kini sedang berada di Jepun,”katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Mohammad Khan Shaik Daud berkata, keadaan tubuh mangsa yang ditemui di dalam parit disahkan mati di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

“Mangsa kemudiannya dikeluarkan dengan menggunakan strecher sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya – sinar